Wednesday 7 December 2011

Why We Should Fast On Asyura's Day?

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”

Alhamdulillah Ya Allah atas limpahan nikmat yang telah Engkau berikan kepada hamba ini. Selawat dan salam buat Imam seluruh umat Islam yang amat-amat diri ini rindui, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.

Alhamdulillah atas keizinan dan kesempatan untuk hamba ini menulis dan berkongsi sesuatu dengan para pembaca. Semoga ianya sentiasa memberi manfaat. insyaAllah..ameen~

Dalam entri kali ni, saya sekadar mahu mengucapkan tahniah kepada anda yang telah berpuasa hari   (Isnin 5 Disember 2011) dan semalam (Selasa 6 Disember 2011).
“Eh sebab apa pulak nak puasa semalam? Apa yang bagusnya?”
Kepada yang tak tahu, atau mungkin terlupa, atau mungkin tak perasan, semalam ialah 10 Muharam.
“Laa apa istimewanya 10 Muharram plak?”
Untuk makluman atau peringatan, 9 Muharram disebut sebagai Hari Tasu’a dan 10 Muharram pula disebut Hari Asyura. Dan Rasulullah SAW menggalakkan umatnya (kita semua) untuk BERPUASA pada hari Asyura.
puasa asyura

Mengapa kita puasa pada Hari Asyura?



Sewaktu Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura.
Rasulullah SAW bertanya:
“Berpuasa apakah kamu ini ?”.
Jawab mereka,
“Hari ini hari besar, pada hari ini Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israil serta menenggelamkan Firaun dengan askar-askarnya. Maka Nabi Musa telah berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah kerana itu kami pun berpuasa.”
Sabda Nabi SAW:
“Kamilah yang lebih berhak mengikut jejak Nabi Musa daripada kamu.”
Dari itu Nabi berpuasa dan menyuruh sahabat-sahabatnya berpuasa pada hari itu.” ((Riwayat Muslim dan Ibnu Abbas r.a))
Nabi SAW telah bersabda:
“Para Nabi berpuasa pada hari Asyura, maka berpuasalah kamu.” (Musnad Baqi ibn Makhlad)
** Berpuasa sebaiknya didahului dengan berpuasa pada Hari Tasu’a (9 hb. Muharam) agar tidak menyerupai amalan orang Yahudi, yang hanya berpuasa pada hari Asyura sahaja. **
Sabda Rasulullah SAW :
“Berpuasalah kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi.” (Riwayat Al Baihaqi)
Rasulullah SAW bersabda:
“Puasalah kamu pada Hari ‘Asyura dan berbezalah dengan orang-orang Yahudi iaitu puasalah sehari sebelumnya dan sehari setelahnya.” (HR. Ahmad dan Al Baihaqy r.a.)
puasa asyura

Apakah kelebihan puasa pada hari Asyura?

1. Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda :
“Seutama-utama puasa sesudah setelah puasa Bulan Ramadhan adalah puasa di Bulan Muharram, dan sebaik-baik solat setelah solat fardhu adalah solat (sunat) pada malam hari.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
2. Daripada Abu Qatadah r.a. berkata :
“Bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang berpuasa pada hari ‘Asyura (10 Muharram). Baginda menjawab: “Akan dapat mengampunkan dosa setahun yang lalu.” (Riwayat Imam Muslim)
3. Kata Ibnu Abbas r.a. :
“Tidak pernah aku melihat Nabi SAW menanti-nanti puasa pada suatu hari yang diutamakan lebih daripada hari lain kecuali hari ini, iaitu ‘Hari Asyura’ (10 Muharram), dan bulan puasa iaitu Bulan Ramadhan.” (Riwayat Imam Bukhary dan Imam Muslim)
Sekian, selamat berpuasa semua :)

Thursday 1 December 2011

Wahai Pemuda, Bangkitlah!


“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah, puji-pujian hanya layak buat Mu. Pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
 Berkata tentang pembela-pembela agama Allah, marilah kita menyingkap kembali sirah terdahulu pada zaman para sahabat.
Siapakah dia yang telah menjadi pejuang-pejuang agama Allah pada zaman dahulu? Merekalah para pemuda yang kental hatinya, mantap imannya, sempurna akidahnya dan tidak terbuai dengan tipu daya dunia. Mereka inilah yang telah ditarbiyah oleh Rasulullah dalam perancangan menegakkan panji-panji Islam.
Abu Bakar, lebih muda 3 tahun daripada Rasulullah, Umar, memeluk islam pada umur 27 tahun, Ali, menerima hidayah pada umur 10 tahun, Mus'ab bin Umair, Abdullah ibn Mas'ud, Bilal bin Rabbah, Salman al Farisi dan berpuluh lagi para sahabat merupakan golongan pemuda yang begitu kukuh akidah mereka hasil didikan tarbiyah daripada Nabi Muhammad s.a.w.
Sekarang mari kita pergi ke depan sedikit, iaitu selepas zaman para sahabat. Siapakah pejuang-pejuang agama Allah yang telah menegakkan ketauhidan di muka bumi ini. Dialah Salahuddin al-Ayyubi, yang telah menakluk Jerusalem pada umur 40 lebih. Dialah Sultan Muhammad al-Fateh, yang telah menakluk Constantinople pada umur 21 tahun.
Maka pada hari ini, mari kita bertanya pada diri kita, siapakah pemuda-pemuda yang akan kembali mendaulahkan Islam di muka bumi ini, siapakah pemuda-pemuda yang akan kembali menegakkan panji-panji syahadah di masa depan   Adakah kita akan tergolong dalam mereka-mereka yang menegakkan agama Islam? Adakah pada hari ini kita sudah cukup bersedia untuk menjadi pembantu-pembantu agama Allah?    Mari kita tanya diri kita sendiri.


Adakah pemuda yang memenuhi masa lapangnya dengan movie akan dapat mencontohi Abu Bakar?

Adakah pemuda yang tidak lekang dengan lagu-lagu lagho akan dapat mencontohi Salman al-Farisi?

Adakah para pemuda yang tidur lambat kerana bermain game sama dengan Sultan Muhammad al-Fateh yang tidak pernah terlepas solat tahajjudnya di malam hari sesudah baligh?

Di mana tahap kita pada hari ini? Suka saya untuk membawa beberapa hadis yang berkata tentang para pemuda, yang sepatutnya diketahui dan diambil pelajaran oleh setiap daripada kita:

       Rasulullah saw bersabda: "Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara...masa mudamu sebelum masa tuamu"(HR al-Hakim)

Rasulullah saw bersabda: " Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan selain daripada perlindungan Allah........pemuda yang sentiasa mengabdikan diri pada Allah pada masa umurnya." (HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah saw bersabda: " Sesungguhnya Allah sangat mengkagumi pemuda yang tidak ada baginya masa muda( berhibur dan bersuka ria)." (HR Ahmad dan Abu Ya'la)

Rasulullah saw bersabda: " Tidak akan melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga ditanya kepadanya tentang 4 perkara:.....masa mudanya, pada apa dia telah habiskan." (HR Tirmizi)
Oleh itu marilah kita melakukan perubahan secara maksimum terhadap diri kita agar kita, Insya-Allah dipilih untuk turut bersama berada dalam perjuangan mereka yang menegakkan kembali Islam.
Mungkin ada yang di antara kita merasakan dirinya tidak perlu untuk turut sama dalam perjuangan ini, merasakan dirinya cukup untuk sekadar memerhati. Di sini saya mahu membawa satu perumpamaan perbezaan bagi mereka yang sekadar memerhati dan bagi mereka yang turut bersama dalam perjuangan.
Ramai dikalangan kita mengatakan kita ingin Islam kembali berubah. Bila ditanya mereka sentiasa mengatakan mereka mahu. Bila berulang kali ditanya mereka masih mengatakan mahu. Namun, siapa yang buat sesuatu ke arah kembalinya kegemilangan Islam suatu ketika dahulu?Beginilah sifat yang dihadapi oleh umat Islam kini. Banyak bercakap dari serius untuk memastikan kata-kata itu dibuktikan melalui tindakan. Hanya sedikit di kalangan kita yang benar-benar bertindak ke arah itu. Adakah sama mereka yang sekadar berkata dengan mereka yang berusaha dan bertindak dalam membela agama Allah? Kata-kata perlu dibuktikan. Bukan sekadar bercakap.

Tidak sama sekali!

Perasaan mereka yang hanya memerhati akan pasti berbeza dengan mereka yang turut berjuang. Imbalan mereka yang hanya memerhati pasti akan berbeza dengan mereka yang bersusah-payah.

Friday 11 November 2011

Bolehkah Aku Kecewa?



Manusia Bertanya : Bolehkah aku kecewa ?

Qur’an Menjawab : Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. (Ali Imraan : 139)
.
Manusia Bertanya : Kenapa aku diberi ujian seberat ini?
Qur’an Menjawab : Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya………. (Al-Baqarah : 286
.
Manusia Bertanya : Kenapa aku tidak diuji saja dengan hal-hal yang baik ?
Qur’an Menjawab : ………. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Al-Baqarah : 216)

Manusia Bertanya : Kenapa aku diuji ?
Qur’an Menjawab : Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan:”Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? (Al-Ankabuut : 2). Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (Al-Ankabuut : 3)

Manusia Bertanya : Bolehkah aku berputus asa ?
Qur’an Menjawab : ………..dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. (Yusuf : 87)

Manusia Bertanya : Bagaimana cara menghadapi ujian hidup ini?
Qur’an Menjawab : Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung. (Ali Imraan : 200)

Manusia Bertanya : Bagaimana menguatkan hatiku?
Qur’an Menjawab : ….Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal……. (At-Taubah : 129)

Manusia Bertanya : Apa yang aku dapat dari semua ujian ini?
Qur’an Menjawab : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka………. (At-Taubah : 111)

Monday 26 September 2011

Ustazah Pilihan & Solehah, pelengkap Imam Muda?


Jalan dakwah : laluan yang menghimpunkan manusia-manusia yang jiwanya cekal untuk tetap teguh untuk bersama jalan ini sehingga ke akhirnya. Cita-cita dan idaman mereka hanya : Redha Allah SWT dan Syurga-Nya.

Lafaz Bismillah pembuka coretan maya ini. Semoga ada manfaatnya.

1. Kelahiran rancangan TV yang islamik adalah suatu usaha murni yang sangat-sangat dihajati saat ini. Saat, dunia hiburan serta alam penyiaran media yang lebih menjurus kepada aspek-aspek hiburan yang lebih melalaikan,menjauhkan diri kepada hakikat ubudiyyah dan ia hanya sebuah bentuk komestik hiburan yang kosong.
Imam Muda. Terbitan Astro Oasis

2. Setahun dua ini, munculnya rancangan televisyen berbentuk program realiti yang berusaha menonjolkan ruh Islamik dan lebih bercorak keagamaan. Alhamdulillah, ia suatu kerja yang baik. Terkini, kemunculan rancangan TV di Astro :- Ustazah Pilihan dan di TV Hijrah :- Solehah. Kedua-dua rancangan ini lebih berobjektifkan kepada pencarian tokoh pendakwah di kalangan wanita muslimah dan keperibadian contoh kepada generasi muda hari ini.

Ustazah Pilihan. Terbitan Astro Oasis.

3. Ada mengatakan, ia adalah alternatif kepada rancangan-rancangan TV yang bertunjang kepada dunia kesenian dan hiburan yang mencari bakat-bakat baru di kalangan remaja hari ini. Dunia yang mengagungkan dunia hiburan telah menjangkau melebih apa yang ada sekarang. Katanya, Ia adalah alternatif kepada Akademik Fantasi, alternatif kepada Mentor mentee, Sehati berdansa, Maharaja Lawak dan sebagainya. Suatu alternatif yang baik dalam menengahkan unsur-unsur yang lebih positif, berakhlak dan membina jiwa yang soleh.

Solehah. Terbitan TV al-Hijrah

4. Tahun lepas, bermulannya rancangan Imam Muda yang sasarannya ialah kaum adam. Tahun ini, sasarannya lebih memfokuskan kaum hawa. Seolah-olah, kehadiran Ustazah Pilihan dan Solehah adalah pelengkap kepada Imam Muda. Mungkin. Sebelumnya, wujudnya rancangan seperti Akademi Al-Quran dan Akademi Nasyid. Hasilnya, wujudnya suatu fenomena baru kepada masyarakat dan para peserta rancangan ini secara tidak langsung akan menjadi ikon, selebriti dan public figure. Secara tidak semena – bayangan kepopularan, keglamouran dan menjadi terkenal akan menghiasi perjalanan para peserta selepas selesai siri rancangan ini.

5. Namun, timbul pelbagai tanda tanya, persoalan dan isu terhadap rancangan kewanitaan yang terbaru ini. Maudhunya ialah wanita. Keperibadian yang sangat sensitif untuk disentuh dan dibicarakan. Sejauh mana hal ini memampukan sesuatu yang menjadi objektif perlaksanaan rancangan dan program ini, akan mencapai matlamatnya? Bolehkah rancangan sedemikian dilaksanakan? Adakah ia menepati syara serta syariat Islam? Objektif program inilah ialah dakwah dan melahirkan tokoh dakwah di kalangan muslimah. Itulah yang dinyatakan.

Justeru, kaedah dan jalan-jalan perlaksanaannya jua harus menepati kaedah dakwah Rasulullah SAW. Dasar, polisi, objektif, kaedah, perlaksanaan dan ruhnya :- Harus bertunjangkan dakwah ini. Itulah yang terbaik!

6. Dakwah, ia adalah seruan kepada Allah SWT. Dakwah, ianya membawa manusia kepada sebuah perubahan yang menyeluruh, total dan syumul. Dan, kerja-kerjanya adalah suatu amanah yang mulia, terpuji dan dipandang tinggi. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"

(Fussilat: 33)

Dakwah, ia berakar tunjangkan kepada suruhan Allah SWT dan jalannya telah dirintis oleh baginda Rasulullah SAW. Jalan dakwah :- warna warnanya adalah warna-warna darah, warna kelelahan dan warna keperitan serta kesusahan. Batu bata binaan dakwah, adalah batu bata yang harus dikukuhkan melalui asas-asas yang benar-benar berakar umbi menjunam ke dasar binaan pembentukan ummah Islamiyah sehingga lahirnya keperibadian-keperibadian manusia yang benar-benar mantap keimanan dan tinggi penghayatan keIslamannya.

7. Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam Kitabnya yang menggugah syuur seluruh Dai’ Haraki iaitu Al-Muntalaq telah memberi ungkapan yang jelas tentang hakikat tugasan dakwah :

“ Demi Allah, sesungguhnya dakwah ini adalah tugas lelaki sejati. Ia menghimpunkan lelaki yang gagah perkasa di dalam barisan mereka. Orang-orang yang takut menghadapi rintangan, gangguan dan pertarungan, maka kumpulan tersebut terdiri dari angkatan lelaki yang berjiwa kecil, kerdil dan mementingkan diri sendiri.”

8. Teringat satu kata-kata seorang Salafussoleh yang disebut semula Oleh Ibnu Al-Qayyim dalam Kitabnya, Miftah Dar al-Sa’adah. Katanya :

“ Alangkah hebatnya agama ini sekiranya mempunyai rijal yang berjiwa besar.”

Rijal merujuk kepada pemuda dan pemudi. Lelaki dan perempuan. Kita berhajatkan kepada pemuda pemudi yang memiliki keperibadian yang tinggi, kemahuan yang besar dan ruh yang bersih.

Justeru, mereka-mereka ini harus diproses, dididik, diasuh, disemai dan dibina. Dan, tiada jalan yang lebih selamat, terbukti keberhasilannya dan berkesan : iaitu jalan tarbiyah dan dakwah. Jalan yang diasaskan, dilaksanakan dan diperjuangkan oleh Rasulullah SAW. Justeru para pendakwah harus melalui jalan-jalan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Itulah keaslian dakwah yang hakiki.

9Sheikh Bahiy Khouly dalam tintanya Tazkirah Duat menyatakan :“Pendakwah adalah seorang yang menyakini kepada fikrah, gagasan atau idealismanya. Ia berdakwah atau menyeru manusia kepada fikrah secara tulisan, ceramah atau perbualan biasa, kerja keras, secara peribadi dan umum, dan segala perkara yang boleh digunakan yang berupa alat-alat penyebaran maklumat. Oleh sebab itu, pendakwah boleh menjadi penulis, penceramah, penyampai dan menjadi teladan yang mempengaruhi orang melalui perbuatannya”.

10. Beliau menambah lagi : “Pendakwah juga seorang ‘doktor masyarakat’ yang merawat penyakit di dalam jiwa, dan memperbaiki keadaan masyarakat yang rosak. Oleh itu, pendakwah adalah pengkritik yang celik, hidupnya digunakan untuk melakukan perubahan dan pembaikan ke arah yang Allah SWT kehendaki.”

11. Inilah para pendakwah yang dikehendaki oleh ummah ini. Susur galur perjalanan dan perjuangan para pendakwah, dai dan juga sheikh-sheikh murabbi ialah : - melalui suatu “proses” didikan yang panjang untuk mengajak ummah ini kembali kepada Allah SWT. Akhirnya, sekiranya keaslian jalan ini terpelihara :- InsyaAllah suatu perubahan yang menyeluruh dalam mencorakan kehidupan ummah ini.

12. Ummat perlu dan hajatkan kepada pendakwah dan dai yang benar-benar mampu merawat ketenatan ummat yang parah, rosak dan “tercekik” di dalam kepekatan arus jahiliyah. Apa jua bentuk program, institusi-institusi, wadah-wadah atau aktiviti-aktiviti dan rancangan-rancangan yang ada harus mengikuti trend yang dipelopori oleh Rasulullah SAW. Kerana apa? Kerana natijah, keberhasilan dan outputnya telah terbukti “menjadi” dengan keizinan dan kehendak Allah SWT.

Jika "trend" ini dipandang sepi dan tidak ditunjangi – bimbang, risau dan resah andainya segala usaha hanya kerja-kerja yang sia-sia, tiada nilai dan tidak dipandang oleh Allah SWT.Nauzubillah.

13. Ada yang lebih penting ialah :- ia adalah jalan-jalan yang mendekatkan jiwa kita kepada-Nya. Semakin lama berada dalam jalan ini, terasa akan kerendahan dan kekerdilan di hadapan Allah SWT. Semakin hari, keyakinan dan kepercayaan kepada janji-janji Allah SWT semakin bertambah dan menebal. Bahkan – benar-benar menyakini bahawa melalui jalan inilah Allah SWT meredhai kita sebagai hamba-Nya. Inilah laluan yang harus diperhalusi, dicermati dan diteliti oleh ummat manusia dalam mengajak manusia kepada Allah SWT.

14. Semoga apa jua usaha, gerak kerja, perancangan, perlaksanaan dan penilaian kerja-kerja dakwah melihat secara mendalam serta terperinci akan fiqh dakwah yang diperjuangkan oleh baginda Rasulullah SAW. Mungkin, jalannya tidak popular dan glamour seperti yang kita sangkaan. Namun inilah dia, jalan dakwah.

15. Pesanan Murabbiku :

“ Mehnah-mehnah di sepanjang jalan dakwah adalah dapur pembakar yang akan membakar semangat. Melebur kelemahan jiwa untuk memudahkan proses membentuk keperibadian yang benar dan tahan diuji sebagai persiapan untuk memikul tanggungjawab yang berat dan besar. Jika kau hajati syurga Allah marilah bersamaku menyinsing lengan merintis onak dan duri serta menongkah arus masyarakat.”

Sekian. Tinta berakhir sepenuhnya dipenghujung ini.
" Yang benar itu, adalah daripada Allah SWT."

Credit to:-
BroHamzah
26 September 2011
Kota Bharu, Kelantan.

Wednesday 21 September 2011

IKHLAS


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Maksudnya: "sesungguhnya Allah tidak memandang rupa parasmu, harta dan kekayaanmu tetapi Allah memandang kepada hati kamu dan Amalan kamu"
Dalam kalamullah telah pun dinyatakan berulang kali tentang keikhlasan.
Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam surah Az-Zumar ayat 11:
"Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama"
IKHLAS... Apakah keistimewaannya sehinggakan begitu tinggi darjat orang yang memilikinya? Betapa sukarnya memperolehi hati yang ikhlas. perkataan ikhlas selalunya sering diungkapkan ketika seseorang memberi sesuatu. ungkapan yang menjadi kebiasaan yang menerjah rongga pendengaran kita"saya ikhlas.benar-benar ikhlas dari hati saya memberikan barang ini kepada awak"..
Tanpa kita sedari maksud ikhlas itu merentasi atmosfera pemikiran alam, melangkaui batas-batas pemikiran makhluk-makhluknya. Namun, sejauh mana tahap keikhlasan kita? apakah sesuatu yang kita lakukan itu pada awalnya niat yang ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah akhirnya kaku menyembah tuntutan syaitan? bermegah-megahan dan juga menunjuk-nunjuk seumpamanya.
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah S.A.W, wahai Rasulullah, bagaimana pendapat Anda tentang seseorang yang keluar(dari rumahnya) untuk berjihad di jalan Allah, dia ingin mencari pahala dan populariti sebagai seorang yang berani, apa yang ia perolehi? Nabi menjawab: tidak ada apa-apa. walaupun ditanya beberapa kali, jawapan Rasulullah tetap juga sama. Kemudian Nabi bersabda,
"Sesungguhnya Allah tidak menerima segala amal yang dikerjakan kecuali dengan ikhlas dan untuk mencari keredhaan Allah" (HR An-Nasa'i)
Allah. Allah.Allah
Sahabat-sahabatku sekalian
Ayuh kita refleksi kembali dimanakah tahap keihlasan kita pada saat ini? adakah setinggi lapisan Eksosfera atau sedalam lapisan inner core in the earth?
Tepuk dada tanya iman
Tiada siapa yang tahu sekepuk mana iman kita atau setipis mana ketaqwaan kita KECUALI diri kita....
"salam ukhuwah sekencang dakwah"